Sunday 8 May 2016

DEMAM K-POP

Image result for animasi kpop
            Kemunculan “K-POP” di era globalisasi ini menjadi pusat perhatian seantero dunia terhadap pengembangan negara korea selatan. Malaysia pun tidak terkecuali mengagungkan budaya luar. Hal ini terbukti, apabila setiap kali ada artis Korea datang ke Malaysia, boleh dikatakan laku laris jugaklah tiket-tiketnya. Paling hebat pastinya kehadiran Big Bang Ke Malaysia pada bulan Oktober pada tahun lalu. Seperti yang kita sedia maklum, awal tahun 2015, negara digemparkan dengan satu isu yang agak mengaibkan iaitu “Gadis Melayu Bertudung Dipeluk Artis K-pop” di konsert yang diadakan di ibu negaraDifahamkan gadis terbabit dicium dan dipeluk beberapa orang anggota dari kumpulan K-Pop B1A4 yang membuat persembahan di KL Live Center Kuala Lumpur. Sebagai golongan remaja, tidak salah sekiranya kita ingin berhibur, namun jangan terlalu taksub dan lupa terhadap tanggungjawab dan adab sebagai seorang Islam.

            K-pop yang didatangkan dari Korea kini bagaikan satu fenomena. Sama seperti gelombang hiburan Bollywood yang dahulu digilai ramai sebelum ia lenyap sedikit demi sedikit dan diambil alih pula oleh hiburan dari Korea. Pengaruh hallyu ataupun gelombang korea ini saban hari semakin meningkat di Malaysia. Gelombang ini secara tidak langsung telah memukau sebahagian besar masyarakat Malaysia, terutamanya golongan remaja. Perkara yang menjadi ikutan anak muda kini ialah bermula dengan drama, lagu, gaya hidup, dan budaya Korea yang menjadikan mereka teruja dan hanyut dalam dunia khayalan yang sentiasa bermain  di minda mereka. Hal ini kerana bagi mereka k-pop ini sangat unik, memenuhi citarasa, dan jiwa generasi muda. Dalam industri k-pop, bukan setakat ada lagu dan muzik yang menarik tetapi juga tarian, fesyen, dan juga rupa paras penyanyi yang kacak dan comel yang menjadi daya penarik utama kepada generasi muda.
            Untuk pengetahuan semua, kebanyakan masyarakat Korea mengamalkan pembedahan plastik bentuk wajah bagi menampilkan wajah yang lebih cantik dan mulus.  Kebiasaannya, mereka akan melakukan pembedahan di bahagian mata, hidung, dagu, dan mulut, termasuklah artis korea tidak kira lelaki mahupun perempuan yang menginginkan penampilan yang menawan di hadapan peminat mereka. Oleh hal yang demikian, memang amat sukar dan rumit untuk mencari seseorang yang mempunyai kecantikan yang asli dan original di Korea. Disebabkan terpengaruh dengan gejala pembedahan ini, ada di antara peminat yang sanggup menghabiskan banyak wang semata-mata untuk mendapatkan kecantikan sehingga tergamak mereka mengenepikan syariat agama di mana sudah terang lagi bersuluh bahawa Islam secara terang-terangan melarang perbuatan ini. Hal ini dibuktikan melalui firman Allah azza wajalla dalam surah an-Nisa ayat 117  yang mana Allah mengharamkan sesiapa sahaja yang mengubah fitrah kejadian yang telah ditetapkan iaitu mengubah bentuk tubuh, dan mengubah syariat Islam iaitu mengharamkan apa yang dihalalkan dan menghalalkan apa yang diharamkan. Oleh itu, jelaslah bahawa melakukan pembedahan plastik ini tidak boleh dilaksanakan kerana hukumnya haram dalam syariat Islam.

            Sehubungan dengan itu, perkara yang menjadi kegilaan ramai hampir seluruh dunia ialah berhubung dengan kewujudan konsert-konsert gempak yang dibuat oleh beberapa kumpulan kpop iaitu Bigbang, Super Junior, Girls Generation, BEAST, dan Wonder Girls yang mana mendapat sambutan hangat dari seantero dunia. Drama romantis korea pula melonjak naik sejak tahun 2002 iaitu dengan penyiaran drama Korea “Winter Sonata” yang pertama kali ditayangkan di Malaysia menjadi siulan ramai dan melekat di hati anak muda. Kemudian, diikuti pula dengan drama Autumn In My Heart, My Stairway Heaven, Full House, My Girl, Dae Jang Geum, dan Coffee Prince yang menjadi kegilaan para remaja, termasuklah saya sendiri. Dalam konteks ini, populariti pengaruh kpop ini berkembang dengan menular disebabkan oleh penyebaran maklumat di media sosial seperti di facebook, twitter, youtube, blog dan sebagainya yang majoriti anak muda kini yang memilikinya.

            Majoriti mengatakan bahawa pengaruh kpop ini banyak memberi impak negatif kepada masyarakat, khususnya kepada remaja. Antaranya ialah membazir masa. Hal ini kerana minat yang mendalam dan menebal terhadap k-pop ini lama kelamaan akan sampai kepada tahap ekstrim ataupun fanatik yang mana mampu mempengaruhi minda dan pemikiran remaja itu sendiri. Hal ini sangat membimbangkan pelbagai pihak kerana pengaruh ini akan menjadi ikutan mereka sebagai contoh trend rambut berwarna yang melanggar syariat agama serta pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Gelombang korea ini secara tidak langsung mampu merosakkan jati diri serta menyerang akidah masyarakat. Selain itu, konsert kpop ini juga dikatakan melampaui batasan berikutan unsur-unsur porno yang ditunjukkan di dalam persembahan mereka, di samping gaya pemakaian artis-artisnya yang tidak menepati budaya ketimuran di Malaysia. Oleh itu, kemelut ini haruslah dibendung agar generasi muda tidak terpengaruh dan hanyut dengan sesuatu yang tidak memberi manfaat malah mengundang kerosakan akidah.
            Walaupun segelintir mengatakan bahawa pengaruh gelombang ini memberi implikasi negatif, namun jika diteliti terdapat juga kesan positif. Antara impak positif yang dapat dikenalpasti ialah mampu mengembangkan bakat-bakat yang selama ini terpendam untuk dikembangkan dan diekspresikan. Maksudnya ialah perkembangan dari segi kreativiti dan muzik moden yang diketengahkan. Dengan adanya k-pop ini para remaja dapat mempelajari seni tentang k-pop mulai dari tarian, pengolahan vokal, rap, hip hop dan sebagainya. Kemudian, impak lain ialah anak muda tidak terdedah kepada aktiviti yang teruk dan keterlaluan kerana banyak menghabiskan masa di rumah sama ada melayan drama korea melalui youtube ataupun menonton video lagu korea dan sebagainya. Hal ini akan memberi kesan positif kerana dapat mengelakkan anak muda keluar melepak dengan rakan-rakan yang mempunyai akhlak yang negatif, dan menghindari mereka daripada melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya umpama vandalisme, gangsterisme dan sebagainya.
Image result for animasi kpopSebagai konklusinya, jelaslah bahawa pengaruh k-pop ini tidak dinafikan banyak memberi kesan negatif berbanding positif kepada generasi muda. Dengan itu,  tidak salah untuk berhibur dan meminati k-pop namun sebagai generasi muda yang menjadi modal insan negara, kita seharusnya bijak dalam menilai pengaruh luar supaya tidak meracuni minda.   Dalam hal ini, kerajaan juga harus memainkan peranan penting bagi membendung pengaruh gejala k-pop ini daripada terus berleluasa kerana dikhuatiri akan meruntuhkan akidah masyarakat tempatan dan merebak kepada generasi seterusnya.



1 comment:

  1. very nice your blog..sy sokog ap yg awk explain psl kpop..huhu

    ReplyDelete