Wednesday 1 June 2016



AKTIVITI DI UNIVERSITI

Assalamualaikum dan salam ukhwah kepada para pembaca blog yang disayangi. Pada entri kali ini saya akan menceritakan tentang pengalaman saya dalam menyertai beberapa aktiviti di universiti. Sebelum pergi kepada topik ini, saya ingin memperkenalkan serba sedikit berkenaan latar belakang saya. Untuk pengetahuan pembaca, saya merupakan seorang mahasiswi Universiti Utara Malaysia (UUM) dari jurusan Pengajian Sarjana Muda Pengurusan Awam (Bachelor Of Public Management). Tempoh pengajian bagi jurusan ini tidaklah lama sangat iaitu hanya mengambil masa lebih kurang dalam tiga tahun setengah sahaja. UUM digelar sebagai “Universiti di Rimba Hijau” (The University In A Green Forest) kerana kawasannya yang dipenuhi dengan kehijauan tumbuhan hutan yang mana dapat memberi kesegaran dan kenyamanan kepadaorang sekeliling. Saya bersyukur dapat belajar di sini kerana bukan sahaja suasana yang indah dan menyejuk mata, malah pelbagai prasarana yang diwujudkan untuk para pelajar di UUM berbanding universiti lain. UUM merupakan salah satu universiti yang sangat menggalakkan para pelajar menyertai aktiviti-aktiviti di luar bidang akademik untuk memperolehi pelajar yang berkaliber. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan akan mendorong pelajar menguasai dan mengetahui elemen penting dalam diri pelajar berdasarkan pengalaman mengelola dan mentadbir aktiviti melalui persatuan dan kelab.

Tidak dapat dinafikan bahawa UUM merupakan sebuah institusi yang menggalakkan pelajarnya menyertai aktiviti sukan yang pelbagai. UUM juga banyak menyediakan pelbagai prasarana dan fasiliti yang menarik melalui sukan dan rekreasi. Sepanjang saya berada di UUM ini dari semester satu hinggalah sekarang pelbagai aktiviti dan program yang menarik telah saya ikuti. Antaranya ialah aktiviti sukan berkuda di Pusat Ekuin bersama teman-teman rapat saya. Aktiviti ini sangat menarik dan saya jamin sesiapa sahaja yang menyertainya automatik ingin mencuba lagi sekali dan tidak akan jemu. Aktiviti sukan berkuda ini hanya dikenakan bayaran sebanyak lima ringgit sahaja kepada yang ingin menunggang kuda. Pengalaman menunggang kuda ini memang terbaik dan tidak akan dapat dilupakan kerana ini merupakan aktiviti berkuda kali pertama dalam hidup saya. Kuda yang menjadi mangsa tunggangan saya ialah bernama Romeo iaitu kuda kepunyaan pelakon terkenal iaitu Farid Kamil. 
Detik pertama menunggangnya tidak dinafikan memang perasaan takut, gerun, serta cuak semuanya bercampur baur, biasalah mula-mula menunggang makhluk Allah yang lebih besar dan tinggi dari kita dan nampak macam ganas dan kadang-kadang manja.hehe. Ketika beberapa minit menunggangnya barulah saya berasa sangat berkeyakinan dan bersemangat, patutlah Nabi Muhammad s.a.w ada meminta umat baginda belajar menunggang kuda ini supaya menjadi seorang yang berani, berdisiplin, dan tegas dalam kehidupan. Untuk pengetahuan semua, Pusat Ekuin ini merupakan prasarana sukan UUM bertaraf dunia dan menjadi salah satu aktiviti Ko-Kurikulum yang baru di kampus ini yang mana ditubuhkan pada tahun 2008. Dalam hal ini, UUM telah menyediakan  sebanyak lapan ekor kuda bagi memberi peluang kepada pelajar dalam aktiviti sukan berkuda ini.



Hmm ok aktiviti lain yang pernah saya ikuti ialah aktiviti yang dianjurkan oleh DPP MISC iaitu program “Kem Cuti Sekolah”. Saya merupakan antara salah seorang daripada fasilitator
bagi program ini yang mana telah melibatkan seramai 30 orang peserta dari umur 7 tahun hingga 12 tahun dan majoriti terdiri daripada anak staf UUM. Pengalaman menguruskan program ini tidak dinafikan banyak konflik dan halangan yang terpaksa saya dan beberapa ahli jawatankuasa yang lain menghadapinya dengan semangat yang kental, terutamanya dari segi kos. Kami terpaksa mengeluarkan kos sendiri terlebih dahulu bagi melancarkannya. Program ini sangat bermanfaat kepada para pelajar ketika cuti sekolah kerana pelbagai input yang menarik dan berfaedah tentang islamik yang diimplementasikan sepanjang aktiviti ini. Sebagai contoh belajar cara-cara ataupun rukun bersolat dengan betul, cara berwuduk, sebutan al-fatihah dengan betul, amalan doa dan zikir, tanggungjawab sebagai anak dan sebagainya. Selain itu, kami juga memberi soalan-soalan berbentuk islamik kepada mereka bagi melihat sejauh mana kefahaman mereka tentang ilmu akhirat ini. Matlamat atau objektif bagi program ini ialah bagi mengembangkan minda para peserta tentang keagamaan agar mereka lebih memahami dengan mendalam, walaupun tahap umur mereka yang masih kecil. Umpama kata pepatah “Melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Pengalaman menjadi fasilitator program ini amat menyeronokkan walaupun agak memenatkan kerana melihat gelagat para peserta yang kadang-kadang menghiburkan hati. Dengan ini, saya berharap agar para pembaca dapat melibatkan diri sebagai fasilitator dalam apa jua program kerana pengalaman ini sangat menyeronokka dan mencabar, terutama apabila pertama kali menjadi fasilitator program. Syukur alhamdulillah program yang kami ‘handle’ semuanya berjalan lancar dan mencapai target yang diinginkan.

Seterusnya, saya juga pernah menyertai program ceramah motivasi di Pusat Islam berkenaan tajuk “ Seredup Kasih Ibu, Setulus Kasih Ayah” pada tarikh 27 Mac 2015 yang berlangsung pada jam 8.30 pm hingga 11.00 pm. Program ini mengisahkan tentang pengorbanan ibu bapa yang sangat besar yang tidak terhingga seperti buih di lautan yang tidak terkira banyaknya.
Siapalah kita tanpa ibu dan bapa. Ceramah dari ustaz ini telah menyentuh sanubari saya sehingga air mata berlinangan tanpa saya sedar. Saya ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai nasihat daripada ustaz tersebut dalam ceramahnya. Antaranya ialah kita mestilah berdiri ketika ibu bapa berdiri untuk menghormati mereka, mentaati semua perintah mereka, tidak seharusnya berjalan di hadapan mereka dengan tidak sopan, dan tidak bersuara lantang atau membentak meskipun dengan kata-kata “hus”. Seterusnya ialah perlulah memenuhi panggilan mereka walaupun sesibuk apapun diri kita, walhal ketika sedang melakukan ibadah mengaji Al-Qur’an atau solat sunah. Akhir sekali, kita juga tidak boleh sekali-kali mengungkit kebaikan (berupa pemberian apapun) yang telah diberikan kepada mereka. Semoga dengan perkongsian informasi ini memberi manfaat kepada diri saya dan para pembaca yang budiman sekalian.

Aktiviti seterusnya ialah berkayak bersama rakan-rakan di sebuah tasik yang diberi nama Tasik Guthrie iaitu belakang DPP Sime Darby. Aktiviti berkayak ini sangat menyeronokkan dan pelbagai kenangan manis akan terukir di sebalik permainan kayak ini. Sebelum aktiviti berkayak ini bermula, peserta bakal didedahkan dengan pelbagai teknik dan pengendalian sesebuah kayak terutamanya ketika berhadapan dengan kecemasan, kayak terbalik ataupun risiko pertukaran arah kayak. Dengan itu, kami diminta memakai jaket keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga dan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang risiko. Selain itu, aktiviti ini bukan sahaja untuk meningkatkan kemahiran berkayak, malah dapat menanam semangat berdikari, kerjasama, dan bertoleransi antara satu sama lain. Seramai enam orang jurulatih yang terdiri daripada senior kelab kayak akan menjadi pembimbing kepada peserta supaya kami dapat mendalami ilmu kayak dan teknik-teknik pengendaliannya. Melalui aktiviti ini juga kami dapat mempelajari teknik menggunakan pendayung dengan betul agar perjalanan semasa berkayak menjadi lebih lancar tanpa berlaku kesulitan. Saya berharap kepada para pembaca agar mencari peluang dan ruang untuk mencuba aktiviti yang menyeronokkan dan menyihatkan badan ini kerana keseronokkan ini akan betul-betul dirasai, jika kita sendiri yang melakukannya.

Sebelum melabuhkan tirai ini, suka saya ingin kongsikan satu lagi pengalaman iaitu berkenaan aktiviti sukan negara yang saya sertai. Untuk pengetahuan para pembaca, sempena sambutan Hari Sukan Negara yang diraikan secara serentak seluruh negara, negeri Kedah tidak ketinggalan untuk menyambut Hari Sukan Negara peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di padang kawad PALAPES Universiti Utara Malaysia (UUM). Majlis pelancaran hari sukan ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir dan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, Aminuddin Omar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim. Sambutan Hari Sukan Negara ini merupakan suatu inisiati yang pro-aktif bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ (Sporting Nation). Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sempena sambutan ini seperti seperti senamrobik perdana, Fun Walk (berjalan kaki 10,000 langkah), Fun Ride bersama Menteri Besar Kedah, aerobikton, cabutan bertuah, pendaftaran Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pameran. Aktiviti seumpama ini dapat membina gaya hidup sihat dan aktif dengan bersukan, di samping dapat memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat kerana program ini bukan sahaja melibatkan pelajar UUM, malah orang awam juga turut dialu-alukan.

Harap kalian sudi membaca entri baru saya ini dan terima kasih diucapkan kepada para pembaca yang dihargai. Pengalaman yang saya kongsikan ini adalah sekadar penceritaan aktiviti saya dalam kampus ini yang mana tiada kaitan dengan sesiapapun. Semoga para pembaca tertarik, terhibur dan mengambil manfaat darinya. Demikian sahaja coretan dari saya pada kali ini, jika ada tutur kata atau gaya bahasa yang kurang berkenan di hati harap dimaafkan, yang baik datang dari Allah yang buruk datang dari kelemahan diri saya sendiri.

Usikum wanafsi bitaqwallah ihdinassyirotol mustakim,

Wassalamu’alaikum Wr.Wb. 

Sunday 8 May 2016

DEMAM K-POP

Image result for animasi kpop
            Kemunculan “K-POP” di era globalisasi ini menjadi pusat perhatian seantero dunia terhadap pengembangan negara korea selatan. Malaysia pun tidak terkecuali mengagungkan budaya luar. Hal ini terbukti, apabila setiap kali ada artis Korea datang ke Malaysia, boleh dikatakan laku laris jugaklah tiket-tiketnya. Paling hebat pastinya kehadiran Big Bang Ke Malaysia pada bulan Oktober pada tahun lalu. Seperti yang kita sedia maklum, awal tahun 2015, negara digemparkan dengan satu isu yang agak mengaibkan iaitu “Gadis Melayu Bertudung Dipeluk Artis K-pop” di konsert yang diadakan di ibu negaraDifahamkan gadis terbabit dicium dan dipeluk beberapa orang anggota dari kumpulan K-Pop B1A4 yang membuat persembahan di KL Live Center Kuala Lumpur. Sebagai golongan remaja, tidak salah sekiranya kita ingin berhibur, namun jangan terlalu taksub dan lupa terhadap tanggungjawab dan adab sebagai seorang Islam.

            K-pop yang didatangkan dari Korea kini bagaikan satu fenomena. Sama seperti gelombang hiburan Bollywood yang dahulu digilai ramai sebelum ia lenyap sedikit demi sedikit dan diambil alih pula oleh hiburan dari Korea. Pengaruh hallyu ataupun gelombang korea ini saban hari semakin meningkat di Malaysia. Gelombang ini secara tidak langsung telah memukau sebahagian besar masyarakat Malaysia, terutamanya golongan remaja. Perkara yang menjadi ikutan anak muda kini ialah bermula dengan drama, lagu, gaya hidup, dan budaya Korea yang menjadikan mereka teruja dan hanyut dalam dunia khayalan yang sentiasa bermain  di minda mereka. Hal ini kerana bagi mereka k-pop ini sangat unik, memenuhi citarasa, dan jiwa generasi muda. Dalam industri k-pop, bukan setakat ada lagu dan muzik yang menarik tetapi juga tarian, fesyen, dan juga rupa paras penyanyi yang kacak dan comel yang menjadi daya penarik utama kepada generasi muda.
            Untuk pengetahuan semua, kebanyakan masyarakat Korea mengamalkan pembedahan plastik bentuk wajah bagi menampilkan wajah yang lebih cantik dan mulus.  Kebiasaannya, mereka akan melakukan pembedahan di bahagian mata, hidung, dagu, dan mulut, termasuklah artis korea tidak kira lelaki mahupun perempuan yang menginginkan penampilan yang menawan di hadapan peminat mereka. Oleh hal yang demikian, memang amat sukar dan rumit untuk mencari seseorang yang mempunyai kecantikan yang asli dan original di Korea. Disebabkan terpengaruh dengan gejala pembedahan ini, ada di antara peminat yang sanggup menghabiskan banyak wang semata-mata untuk mendapatkan kecantikan sehingga tergamak mereka mengenepikan syariat agama di mana sudah terang lagi bersuluh bahawa Islam secara terang-terangan melarang perbuatan ini. Hal ini dibuktikan melalui firman Allah azza wajalla dalam surah an-Nisa ayat 117  yang mana Allah mengharamkan sesiapa sahaja yang mengubah fitrah kejadian yang telah ditetapkan iaitu mengubah bentuk tubuh, dan mengubah syariat Islam iaitu mengharamkan apa yang dihalalkan dan menghalalkan apa yang diharamkan. Oleh itu, jelaslah bahawa melakukan pembedahan plastik ini tidak boleh dilaksanakan kerana hukumnya haram dalam syariat Islam.

            Sehubungan dengan itu, perkara yang menjadi kegilaan ramai hampir seluruh dunia ialah berhubung dengan kewujudan konsert-konsert gempak yang dibuat oleh beberapa kumpulan kpop iaitu Bigbang, Super Junior, Girls Generation, BEAST, dan Wonder Girls yang mana mendapat sambutan hangat dari seantero dunia. Drama romantis korea pula melonjak naik sejak tahun 2002 iaitu dengan penyiaran drama Korea “Winter Sonata” yang pertama kali ditayangkan di Malaysia menjadi siulan ramai dan melekat di hati anak muda. Kemudian, diikuti pula dengan drama Autumn In My Heart, My Stairway Heaven, Full House, My Girl, Dae Jang Geum, dan Coffee Prince yang menjadi kegilaan para remaja, termasuklah saya sendiri. Dalam konteks ini, populariti pengaruh kpop ini berkembang dengan menular disebabkan oleh penyebaran maklumat di media sosial seperti di facebook, twitter, youtube, blog dan sebagainya yang majoriti anak muda kini yang memilikinya.

            Majoriti mengatakan bahawa pengaruh kpop ini banyak memberi impak negatif kepada masyarakat, khususnya kepada remaja. Antaranya ialah membazir masa. Hal ini kerana minat yang mendalam dan menebal terhadap k-pop ini lama kelamaan akan sampai kepada tahap ekstrim ataupun fanatik yang mana mampu mempengaruhi minda dan pemikiran remaja itu sendiri. Hal ini sangat membimbangkan pelbagai pihak kerana pengaruh ini akan menjadi ikutan mereka sebagai contoh trend rambut berwarna yang melanggar syariat agama serta pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Gelombang korea ini secara tidak langsung mampu merosakkan jati diri serta menyerang akidah masyarakat. Selain itu, konsert kpop ini juga dikatakan melampaui batasan berikutan unsur-unsur porno yang ditunjukkan di dalam persembahan mereka, di samping gaya pemakaian artis-artisnya yang tidak menepati budaya ketimuran di Malaysia. Oleh itu, kemelut ini haruslah dibendung agar generasi muda tidak terpengaruh dan hanyut dengan sesuatu yang tidak memberi manfaat malah mengundang kerosakan akidah.
            Walaupun segelintir mengatakan bahawa pengaruh gelombang ini memberi implikasi negatif, namun jika diteliti terdapat juga kesan positif. Antara impak positif yang dapat dikenalpasti ialah mampu mengembangkan bakat-bakat yang selama ini terpendam untuk dikembangkan dan diekspresikan. Maksudnya ialah perkembangan dari segi kreativiti dan muzik moden yang diketengahkan. Dengan adanya k-pop ini para remaja dapat mempelajari seni tentang k-pop mulai dari tarian, pengolahan vokal, rap, hip hop dan sebagainya. Kemudian, impak lain ialah anak muda tidak terdedah kepada aktiviti yang teruk dan keterlaluan kerana banyak menghabiskan masa di rumah sama ada melayan drama korea melalui youtube ataupun menonton video lagu korea dan sebagainya. Hal ini akan memberi kesan positif kerana dapat mengelakkan anak muda keluar melepak dengan rakan-rakan yang mempunyai akhlak yang negatif, dan menghindari mereka daripada melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya umpama vandalisme, gangsterisme dan sebagainya.
Image result for animasi kpopSebagai konklusinya, jelaslah bahawa pengaruh k-pop ini tidak dinafikan banyak memberi kesan negatif berbanding positif kepada generasi muda. Dengan itu,  tidak salah untuk berhibur dan meminati k-pop namun sebagai generasi muda yang menjadi modal insan negara, kita seharusnya bijak dalam menilai pengaruh luar supaya tidak meracuni minda.   Dalam hal ini, kerajaan juga harus memainkan peranan penting bagi membendung pengaruh gejala k-pop ini daripada terus berleluasa kerana dikhuatiri akan meruntuhkan akidah masyarakat tempatan dan merebak kepada generasi seterusnya.



PUISI SEDIH “CINTA NAN LARA”
Indah dan mekar mempesona,
Di saat mataku melihat awangan dunia,
Melayang ringan bak hembusan bayu pagi,
Tercipta lakaran indah bersamamu sayap cinta.
Ya benar,
Sungguh indah detik itu,
Beginikah rasanya cinta,
Bila dimabuk cinta,
Hati berbunga asmara,
Mekar indah dalam jiwa,
Namun segalanya hanyalah sementara,
Mengundang seribu satu luka nan lara,
Diriku kembali dirundum panahan memori silam,
Yang tidak pernah sirna,
Dalam kamus hidupku.
Tahukah dirimu sang pencintaku,
Kini,
Ku sendiri sapu serpihan luka hatiku,
Tuk menghapus sejarah fana angkara cintamu,
Yang masih bersisa merobek perih jiwaku,
Kubangkit mencari semangat baru,
Kuyakini kehilangan pasti akan tumbuh kembali,
Perjuangan hidup harus diteruskan,
Mengalah meratapi nasib,
Bukan prinsip hidupku,
Yang pergi tetap pergi,
Yang baru pasti kan menanti.
Tahukah dirimu sang pencuri hatiku,
Benih-benih cintamu seringkali,
Menari keriangan tanpa menghiraukan,
Luluh rentum jiwaku,
Benakku dirundum kisah lalu,
Yang tidak mungkin melakar kembali,
Kau lebih memilih untuk menjauh,
Dari berada di sampingku,
Tergamaknya dirimu buatku lara begini,
Apakah alasanmu wahai belahan jiwaku?
Kini,
Diriku dihantui seribu satu persoalan,
Yang barangkali tiada kesudahan,
Ku kan tetap menanti jawapanmu,
Walau hanya sepatah kata terungkap,
Dari bibirmu.
Di manakah dirimu?
Sungguh perih akan penantian ini,
Disaksikan nur bulan dan bintang,
Ku meratapi nasib diri,
Tangisan malamku tiada siapa yang tahu,
Kurindukan dirimu yang dulu,
Yang sentiasa ada dikala aku kesunyian,

Setelah sekian lama menunggu jawapanmu,
Kini
 Segalanya telah terlerai sudah,
Kuterima lembaran surat dari temanmu,
Yang merungkaikan 1001 persoalan di benakku
Dirimu telah mempunyai pasangan hidup,
Angkara pilihan keluargamu
Yang terikat pada perjanjian dulu,
Aku tersentak tanpa sepatah kata,
Seakan dunia gelap timbunan kabut malam,
Aku duduk terdiam di tengah kesunyian,
Biarkanlah,
Andai itu takdirnya
Kan ku akur jua,
Cuma kuingin kau tahu wahai sayangku,
Saatku menghayati lembaran itu
Jiwaku hancur berkecai
Mataku berkaca seribu,
Kakiku longlai tanpa gagahan tenaga
Senyum tawamu bermain di kotak mindaku,
Kini kusedari diriku dibaluti kesepian,
Tanpa dirimu menemani hari-hariku di sisi,
Kuharapkan sang Berkuasa,
Anugerahkan kekuatan raksasa,
Untuk kubangkit menerima kepahitan ini,
Dengan penuh redha dan pasrah,
Kan kuteruskan langkah ini,
Demi menggapai sinar bahagia,
Di sebalik paksi duka ini,
Kuyakin ada penggantinya,
Terima kasih buat hati ini ceria,
Walau untuk seketika,
Merasakan indahnya cinta,

Dan perihnya luka.