DEMAM K-POP
Kemunculan “K-POP”
di era globalisasi ini menjadi pusat perhatian seantero dunia terhadap
pengembangan negara korea selatan. Malaysia pun tidak terkecuali mengagungkan
budaya luar. Hal ini terbukti, apabila setiap kali ada artis Korea datang ke
Malaysia, boleh dikatakan laku laris jugaklah tiket-tiketnya. Paling hebat
pastinya kehadiran Big Bang Ke Malaysia pada bulan Oktober pada tahun lalu. Seperti
yang kita sedia maklum, awal tahun 2015, negara digemparkan dengan satu isu
yang agak mengaibkan iaitu “Gadis Melayu Bertudung Dipeluk Artis K-pop” di
konsert yang diadakan di ibu negara. Difahamkan gadis terbabit dicium dan dipeluk beberapa orang anggota dari
kumpulan K-Pop B1A4 yang membuat persembahan di KL Live Center Kuala Lumpur.
Sebagai golongan remaja, tidak salah sekiranya
kita ingin berhibur, namun jangan terlalu taksub dan lupa terhadap
tanggungjawab dan adab sebagai seorang Islam.
K-pop
yang didatangkan dari Korea kini bagaikan satu fenomena. Sama seperti gelombang
hiburan Bollywood yang dahulu digilai ramai sebelum ia lenyap sedikit demi
sedikit dan diambil alih pula oleh hiburan dari Korea. Pengaruh hallyu ataupun
gelombang korea ini saban hari semakin meningkat di Malaysia. Gelombang ini
secara tidak langsung telah memukau sebahagian besar masyarakat Malaysia,
terutamanya golongan remaja. Perkara yang menjadi ikutan anak muda kini ialah
bermula dengan drama, lagu, gaya hidup, dan budaya Korea yang menjadikan mereka
teruja dan hanyut dalam dunia khayalan yang sentiasa bermain di minda mereka. Hal ini kerana bagi mereka k-pop ini
sangat unik, memenuhi citarasa, dan jiwa generasi muda. Dalam industri k-pop,
bukan setakat ada lagu dan muzik yang menarik tetapi juga tarian, fesyen, dan
juga rupa paras penyanyi yang kacak dan comel yang menjadi daya penarik utama
kepada generasi muda.
Untuk
pengetahuan semua, kebanyakan masyarakat Korea mengamalkan pembedahan plastik
bentuk wajah bagi menampilkan wajah yang lebih cantik dan mulus. Kebiasaannya, mereka akan melakukan pembedahan
di bahagian mata, hidung, dagu, dan mulut, termasuklah artis korea tidak kira
lelaki mahupun perempuan yang menginginkan penampilan yang menawan di hadapan
peminat mereka. Oleh hal yang demikian, memang amat sukar dan rumit untuk
mencari seseorang yang mempunyai kecantikan yang asli dan original di Korea. Disebabkan
terpengaruh dengan gejala pembedahan ini, ada di antara peminat yang sanggup
menghabiskan banyak wang semata-mata untuk mendapatkan kecantikan sehingga
tergamak mereka mengenepikan syariat agama di mana sudah terang lagi bersuluh
bahawa Islam secara terang-terangan melarang perbuatan ini. Hal ini dibuktikan
melalui firman Allah azza wajalla dalam surah an-Nisa ayat 117 yang mana Allah mengharamkan sesiapa sahaja
yang mengubah fitrah kejadian yang telah ditetapkan iaitu mengubah bentuk
tubuh, dan mengubah syariat Islam iaitu mengharamkan apa yang dihalalkan dan
menghalalkan apa yang diharamkan. Oleh itu, jelaslah bahawa melakukan
pembedahan plastik ini tidak boleh dilaksanakan kerana hukumnya haram dalam
syariat Islam.
Sehubungan
dengan itu, perkara yang menjadi kegilaan ramai hampir seluruh dunia ialah berhubung
dengan kewujudan konsert-konsert gempak yang dibuat oleh beberapa kumpulan kpop
iaitu Bigbang, Super Junior, Girls Generation, BEAST, dan Wonder Girls yang
mana mendapat sambutan hangat dari seantero dunia. Drama romantis korea pula
melonjak naik sejak tahun 2002 iaitu dengan penyiaran drama Korea “Winter
Sonata” yang pertama kali ditayangkan di Malaysia menjadi siulan ramai dan
melekat di hati anak muda. Kemudian, diikuti pula dengan drama Autumn In My
Heart, My Stairway Heaven, Full House, My Girl, Dae Jang Geum, dan Coffee
Prince yang menjadi kegilaan para remaja, termasuklah saya sendiri. Dalam
konteks ini, populariti pengaruh kpop ini berkembang dengan menular disebabkan
oleh penyebaran maklumat di media sosial seperti di facebook, twitter, youtube,
blog dan sebagainya yang majoriti anak muda kini yang memilikinya.
Majoriti mengatakan bahawa pengaruh kpop ini banyak memberi
impak negatif kepada masyarakat, khususnya kepada remaja. Antaranya ialah
membazir masa. Hal ini kerana minat yang mendalam dan menebal terhadap k-pop
ini lama kelamaan akan sampai kepada tahap ekstrim ataupun fanatik yang mana
mampu mempengaruhi minda dan pemikiran remaja itu sendiri. Hal ini sangat
membimbangkan pelbagai pihak kerana pengaruh ini akan menjadi ikutan mereka
sebagai contoh trend rambut berwarna yang melanggar syariat agama serta
pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Gelombang korea ini secara tidak
langsung mampu merosakkan jati diri serta menyerang akidah masyarakat. Selain itu, konsert kpop ini juga
dikatakan melampaui batasan berikutan unsur-unsur porno yang ditunjukkan di
dalam persembahan mereka, di samping gaya pemakaian artis-artisnya yang tidak
menepati budaya ketimuran di Malaysia. Oleh itu, kemelut ini haruslah dibendung
agar generasi muda tidak terpengaruh dan hanyut dengan sesuatu yang tidak
memberi manfaat malah mengundang kerosakan akidah.
Walaupun segelintir
mengatakan bahawa pengaruh gelombang ini memberi implikasi negatif, namun jika
diteliti terdapat juga kesan positif. Antara impak positif yang dapat
dikenalpasti ialah mampu mengembangkan bakat-bakat yang selama ini terpendam
untuk dikembangkan dan diekspresikan. Maksudnya ialah perkembangan dari segi
kreativiti dan muzik moden yang diketengahkan. Dengan adanya k-pop ini para
remaja dapat mempelajari seni tentang k-pop mulai dari tarian, pengolahan
vokal, rap, hip hop dan sebagainya. Kemudian, impak lain ialah anak muda tidak
terdedah kepada aktiviti yang teruk dan keterlaluan kerana banyak menghabiskan
masa di rumah sama ada melayan drama korea melalui youtube ataupun menonton
video lagu korea dan sebagainya. Hal ini akan memberi kesan positif kerana
dapat mengelakkan anak muda keluar melepak dengan rakan-rakan yang mempunyai
akhlak yang negatif, dan menghindari mereka daripada melakukan sesuatu yang
tidak sepatutnya umpama vandalisme, gangsterisme dan sebagainya.
Sebagai
konklusinya, jelaslah bahawa pengaruh k-pop ini tidak dinafikan banyak memberi
kesan negatif berbanding positif kepada generasi muda. Dengan itu, tidak salah untuk berhibur dan meminati k-pop
namun sebagai generasi muda yang menjadi modal insan negara, kita seharusnya
bijak dalam menilai pengaruh luar supaya tidak meracuni minda. Dalam
hal ini, kerajaan juga harus memainkan peranan penting bagi membendung pengaruh
gejala k-pop ini daripada terus berleluasa kerana dikhuatiri akan meruntuhkan
akidah masyarakat tempatan dan merebak kepada generasi seterusnya.