AKTIVITI DI UNIVERSITI
Assalamualaikum dan salam ukhwah kepada para pembaca blog yang disayangi. Pada entri kali ini saya akan menceritakan tentang pengalaman saya dalam menyertai beberapa aktiviti di universiti. Sebelum pergi kepada topik ini, saya ingin memperkenalkan serba sedikit berkenaan latar belakang saya. Untuk pengetahuan pembaca, saya merupakan seorang mahasiswi Universiti Utara Malaysia (UUM) dari jurusan Pengajian Sarjana Muda Pengurusan Awam (Bachelor Of Public Management). Tempoh pengajian bagi jurusan ini tidaklah lama sangat iaitu hanya mengambil masa lebih kurang dalam tiga tahun setengah sahaja. UUM digelar sebagai “Universiti di Rimba Hijau” (The University In A Green Forest) kerana kawasannya yang dipenuhi dengan kehijauan tumbuhan hutan yang mana dapat memberi kesegaran dan kenyamanan kepadaorang sekeliling. Saya bersyukur dapat belajar di sini kerana bukan sahaja suasana yang indah dan menyejuk mata, malah pelbagai prasarana yang diwujudkan untuk para pelajar di UUM berbanding universiti lain. UUM merupakan salah satu universiti yang sangat menggalakkan para pelajar menyertai aktiviti-aktiviti di luar bidang akademik untuk memperolehi pelajar yang berkaliber. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan akan mendorong pelajar menguasai dan mengetahui elemen penting dalam diri pelajar berdasarkan pengalaman mengelola dan mentadbir aktiviti melalui persatuan dan kelab.
Tidak dapat dinafikan bahawa UUM merupakan sebuah institusi yang menggalakkan pelajarnya menyertai aktiviti sukan yang pelbagai. UUM juga banyak menyediakan pelbagai prasarana dan fasiliti yang menarik melalui sukan dan rekreasi. Sepanjang saya berada di UUM ini dari semester satu hinggalah sekarang pelbagai aktiviti dan program yang menarik telah saya ikuti. Antaranya ialah aktiviti sukan berkuda di Pusat Ekuin bersama teman-teman rapat saya. Aktiviti ini sangat menarik dan saya jamin sesiapa sahaja yang menyertainya automatik ingin mencuba lagi sekali dan tidak akan jemu. Aktiviti sukan berkuda ini hanya dikenakan bayaran sebanyak lima ringgit sahaja kepada yang ingin menunggang kuda. Pengalaman menunggang kuda ini memang terbaik dan tidak akan dapat dilupakan kerana ini merupakan aktiviti berkuda kali pertama dalam hidup saya. Kuda yang menjadi mangsa tunggangan saya ialah bernama Romeo iaitu kuda kepunyaan pelakon terkenal iaitu Farid Kamil.
Detik pertama menunggangnya tidak dinafikan memang perasaan takut, gerun, serta cuak semuanya bercampur baur, biasalah mula-mula menunggang makhluk Allah yang lebih besar dan tinggi dari kita dan nampak macam ganas dan kadang-kadang manja.hehe. Ketika beberapa minit menunggangnya barulah saya berasa sangat berkeyakinan dan bersemangat, patutlah Nabi Muhammad s.a.w ada meminta umat baginda belajar menunggang kuda ini supaya menjadi seorang yang berani, berdisiplin, dan tegas dalam kehidupan. Untuk pengetahuan semua, Pusat Ekuin ini merupakan prasarana sukan UUM bertaraf dunia dan menjadi salah satu aktiviti Ko-Kurikulum yang baru di kampus ini yang mana ditubuhkan pada tahun 2008. Dalam hal ini, UUM telah menyediakan sebanyak lapan ekor kuda bagi memberi peluang kepada pelajar dalam aktiviti sukan berkuda ini.
Hmm ok aktiviti lain yang pernah saya ikuti ialah aktiviti yang dianjurkan oleh DPP MISC iaitu program “Kem Cuti Sekolah”. Saya merupakan antara salah seorang daripada fasilitator
bagi program ini yang mana telah melibatkan seramai 30 orang peserta dari umur 7 tahun hingga 12 tahun dan majoriti terdiri daripada anak staf UUM. Pengalaman menguruskan program ini tidak dinafikan banyak konflik dan halangan yang terpaksa saya dan beberapa ahli jawatankuasa yang lain menghadapinya dengan semangat yang kental, terutamanya dari segi kos. Kami terpaksa mengeluarkan kos sendiri terlebih dahulu bagi melancarkannya. Program ini sangat bermanfaat kepada para pelajar ketika cuti sekolah kerana pelbagai input yang menarik dan berfaedah tentang islamik yang diimplementasikan sepanjang aktiviti ini. Sebagai contoh belajar cara-cara ataupun rukun bersolat dengan betul, cara berwuduk, sebutan al-fatihah dengan betul, amalan doa dan zikir, tanggungjawab sebagai anak dan sebagainya. Selain itu, kami juga memberi soalan-soalan berbentuk islamik kepada mereka bagi melihat sejauh mana kefahaman mereka tentang ilmu akhirat ini. Matlamat atau objektif bagi program ini ialah bagi mengembangkan minda para peserta tentang keagamaan agar mereka lebih memahami dengan mendalam, walaupun tahap umur mereka yang masih kecil. Umpama kata pepatah “Melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Pengalaman menjadi fasilitator program ini amat menyeronokkan walaupun agak memenatkan kerana melihat gelagat para peserta yang kadang-kadang menghiburkan hati. Dengan ini, saya berharap agar para pembaca dapat melibatkan diri sebagai fasilitator dalam apa jua program kerana pengalaman ini sangat menyeronokka dan mencabar, terutama apabila pertama kali menjadi fasilitator program. Syukur alhamdulillah program yang kami ‘handle’ semuanya berjalan lancar dan mencapai target yang diinginkan.
Seterusnya, saya juga pernah menyertai program ceramah motivasi di Pusat Islam berkenaan tajuk “ Seredup Kasih Ibu, Setulus Kasih Ayah” pada tarikh 27 Mac 2015 yang berlangsung pada jam 8.30 pm hingga 11.00 pm. Program ini mengisahkan tentang pengorbanan ibu bapa yang sangat besar yang tidak terhingga seperti buih di lautan yang tidak terkira banyaknya.
Siapalah kita tanpa ibu dan bapa. Ceramah dari ustaz ini telah menyentuh sanubari saya sehingga air mata berlinangan tanpa saya sedar. Saya ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai nasihat daripada ustaz tersebut dalam ceramahnya. Antaranya ialah kita mestilah berdiri ketika ibu bapa berdiri untuk menghormati mereka, mentaati semua perintah mereka, tidak seharusnya berjalan di hadapan mereka dengan tidak sopan, dan tidak bersuara lantang atau membentak meskipun dengan kata-kata “hus”. Seterusnya ialah perlulah memenuhi panggilan mereka walaupun sesibuk apapun diri kita, walhal ketika sedang melakukan ibadah mengaji Al-Qur’an atau solat sunah. Akhir sekali, kita juga tidak boleh sekali-kali mengungkit kebaikan (berupa pemberian apapun) yang telah diberikan kepada mereka. Semoga dengan perkongsian informasi ini memberi manfaat kepada diri saya dan para pembaca yang budiman sekalian.
Siapalah kita tanpa ibu dan bapa. Ceramah dari ustaz ini telah menyentuh sanubari saya sehingga air mata berlinangan tanpa saya sedar. Saya ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai nasihat daripada ustaz tersebut dalam ceramahnya. Antaranya ialah kita mestilah berdiri ketika ibu bapa berdiri untuk menghormati mereka, mentaati semua perintah mereka, tidak seharusnya berjalan di hadapan mereka dengan tidak sopan, dan tidak bersuara lantang atau membentak meskipun dengan kata-kata “hus”. Seterusnya ialah perlulah memenuhi panggilan mereka walaupun sesibuk apapun diri kita, walhal ketika sedang melakukan ibadah mengaji Al-Qur’an atau solat sunah. Akhir sekali, kita juga tidak boleh sekali-kali mengungkit kebaikan (berupa pemberian apapun) yang telah diberikan kepada mereka. Semoga dengan perkongsian informasi ini memberi manfaat kepada diri saya dan para pembaca yang budiman sekalian.
Aktiviti seterusnya ialah berkayak bersama rakan-rakan di sebuah tasik yang diberi nama Tasik Guthrie iaitu belakang DPP Sime Darby. Aktiviti berkayak ini sangat menyeronokkan dan pelbagai kenangan manis akan terukir di sebalik permainan kayak ini. Sebelum aktiviti berkayak ini bermula, peserta bakal didedahkan dengan pelbagai teknik dan pengendalian sesebuah kayak terutamanya ketika berhadapan dengan kecemasan, kayak terbalik ataupun risiko pertukaran arah kayak. Dengan itu, kami diminta memakai jaket keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga dan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang risiko. Selain itu, aktiviti ini bukan sahaja untuk meningkatkan kemahiran berkayak, malah dapat menanam semangat berdikari, kerjasama, dan bertoleransi antara satu sama lain. Seramai enam orang jurulatih yang terdiri daripada senior kelab kayak akan menjadi pembimbing kepada peserta supaya kami dapat mendalami ilmu kayak dan teknik-teknik pengendaliannya. Melalui aktiviti ini juga kami dapat mempelajari teknik menggunakan pendayung dengan betul agar perjalanan semasa berkayak menjadi lebih lancar tanpa berlaku kesulitan. Saya berharap kepada para pembaca agar mencari peluang dan ruang untuk mencuba aktiviti yang menyeronokkan dan menyihatkan badan ini kerana keseronokkan ini akan betul-betul dirasai, jika kita sendiri yang melakukannya.
Sebelum melabuhkan tirai ini, suka saya ingin kongsikan satu lagi pengalaman iaitu berkenaan aktiviti sukan negara yang saya sertai. Untuk pengetahuan para pembaca, sempena sambutan Hari Sukan Negara yang diraikan secara serentak seluruh negara, negeri Kedah tidak ketinggalan untuk menyambut Hari Sukan Negara peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di padang kawad PALAPES Universiti Utara Malaysia (UUM). Majlis pelancaran hari sukan ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir dan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, Aminuddin Omar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim. Sambutan Hari Sukan Negara ini merupakan suatu inisiati yang pro-aktif bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ (Sporting Nation). Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sempena sambutan ini seperti seperti senamrobik perdana, Fun Walk (berjalan kaki 10,000 langkah), Fun Ride bersama Menteri Besar Kedah, aerobikton, cabutan bertuah, pendaftaran Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pameran. Aktiviti seumpama ini dapat membina gaya hidup sihat dan aktif dengan bersukan, di samping dapat memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat kerana program ini bukan sahaja melibatkan pelajar UUM, malah orang awam juga turut dialu-alukan.
Harap kalian sudi membaca entri baru saya ini dan terima kasih diucapkan kepada para pembaca yang dihargai. Pengalaman yang saya kongsikan ini adalah sekadar penceritaan aktiviti saya dalam kampus ini yang mana tiada kaitan dengan sesiapapun. Semoga para pembaca tertarik, terhibur dan mengambil manfaat darinya. Demikian sahaja coretan dari saya pada kali ini, jika ada tutur kata atau gaya bahasa yang kurang berkenan di hati harap dimaafkan, yang baik datang dari Allah yang buruk datang dari kelemahan diri saya sendiri.
Usikum wanafsi bitaqwallah ihdinassyirotol mustakim,
Wassalamu’alaikum Wr.Wb.